KUALA LUMPUR, 22 Januari 2023 – Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), sebuah organisasi bukan kerajaan yang melindungi rantaian bekalan dan jenama daripada perlakuan jenayah, bersetuju dengan arahan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian-kementerian bekerjasama bagi menghentikan ketirisan.
YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyarankan Menteri-menteri Kabinet supaya saling bekerjasama untuk menangani laporan Ketua Audit Negara bagi menghentikan ketirisan yang mengakibatkan negara menanggung beban hutang RM1.5 trilion. Beliau juga menyebut bahawa sehingga RM10 bilion boleh dijimatkan dengan menutup ketirisan tersebut.
Kenyataan beliau turut digemakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Haji Ahmad Maslan, yang mana di dalam satu pernyataan di dalam media sosialnya, berkongsi tujuh perkara mengenai cara menangani hutang besar, dan satu daripadanya ialah ‘mengetatkan penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan’.

Dato’ Fazli Nordin, Pengarah Urusan RTBA Malaysia, berkata, “Tepat pada masanya untuk Kerajaan Perpaduan baharu ini untuk mengambil pendirian tegas terhadap penyeludupan rokok yang mengakibatkan negara kehilangan hasil cukai RM5 bilion setahun.”
Peratus rokok seludup di Malaysia
Menurut laporan Illicit Cigarettes Study (ICS) in Malaysia oleh Nielsen Inc, insiden rokok seludup di peringkat nasional ialah 56.6% pada 2022.
Selain itu, menurut laporan berkenaan, tiga jenama rokok seludup utama ialah John, Era dan Canyon. John mewakili 15.4% rokok seludup yang dihisap di Malaysia, mengguguli tempat pertama carta di Semenanjung Malaysia. Pada masa yang sama, Era dan Canyon, masing-masingnya di tahap 7.7% dan 5.2%.
“Kebanyakan rokok haram tidak mempunyai setem cukai Malaysia atau menampal setem cukai palsu pada bungkusannya,” kata Dato’ Fazli. “Rokok yang diimport secara haram ini menyebabkan Malaysia rugi berbilion-bilion daripada segi cukai yang tidak dibayar setiap tahun, dan duit itu diguna bagi membiayai unsur jenayah di negara ini.
“Sesetengah daripada jenama ini mungkin mempunyai produk yang sah di pasaran, tetapi menjadi mangsa kepada kecurian Harta Intelek (IP) apabila penjenayah meniru penjenamaan mereka.”
“Menariknya, Perdana Menteri turut menyeru agar agensi kerajaan bekerjasama dengan Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authority, atau Globe Network, yang merupakan platform di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC),” tambah Dato’ Fazli.
UNODC mempunyai modul mengenai hak IP dan keganasan, yang menyatakan bahawa ia mengakibatkan ekonomi global menanggung kos melebihi AS$461 bilion (RM1.98 trilion) setiap tahun, menurut anggaran 2016. Malah, UNODC menyatakan bahawa beberapa organisasi pengganas telah dikenal pasti mengambil bahagian dalam perdagangan rokok seludup dalam pelbagai laporan (Shelley & Melzer, 2008).
“Untuk mengurangkan atau menghapuskan perdagangan rokok seludup secara berkesan, kerajaan harus menumpukan penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap penyeludupan dan kecurian IP jenama terlarang utama mesti ditangani terlebih dahulu,” kata Dr Fazli.
“Kami percaya bahawa kerjasama antara Kementerian Kerajaan, pemain industri dan organisasi antarabangsa akan membantu membasmi masalah perdagangan rokok seludup dan berbilion-bilion yang dicuri oleh sindiket haram setiap tahun, agar kembali ke dalam tabung dana negara,” kata Dato’ Fazli.
Read More News @LatestMalaysia
Netizens Dubbed ‘Netflix Rahmah’ for Price Reductions
Due to the backlash, Netflix decided to reduce their streaming prices by a few Ringgit (RM35 to RM28 for their basic plan). Netizens are dubbing it as “Netflix Rahmah.” MORE
More Images – RTBA Malaysia

