KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2025 – Ramai orang menjadikan sambutan perayaan sebagai alasan untuk menikmati makanan tinggi lemak dan gula secara berlebihan, dengan kepercayaan bahawa kerosakan tersebut boleh diperbaiki kemudian melalui diet ekstrem. Namun, kitaran ini memberi tekanan kepada tubuh dan meletakkan beban yang tidak perlu kepada jantung.
Dr. Wan Faizal Wan Rahimi Shah, Pakar Perunding Kardiologi di CVSKL, memberi amaran bahawa tabiat pemakanan yang tidak konsisten, kurang aktiviti fizikal, dan penangguhan saringan kesihatan semasa musim perayaan boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular secara signifikan. Daripada bergantung kepada rawatan segera, rakyat Malaysia perlu mengamalkan pendekatan yang lebih seimbang dan jangka panjang terhadap kesihatan jantung, walaupun ketika musim perayaan yang paling meriah.
Sambutan Perayaan Boleh Meriah Tanpa Abaikan Kesihatan Jantung
Dr. Wan Faizal menjelaskan bahawa semasa musim perayaan, ramai yang mengambil makanan yang tinggi lemak, gula, dan garam secara berlebihan, sambil mengurangkan aktiviti fizikal. Ini boleh menyebabkan kenaikan berat badan, peningkatan kolesterol, dan tekanan darah tinggi — sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung. Berpindah-pindah antara pesta makan dan diet ketat juga berbahaya kerana turun naik mendadak dalam paras kolesterol, gula darah, dan tekanan darah memberi tekanan kepada sistem kardiovaskular, meningkatkan keradangan, dan membebankan fungsi jantung.
Tinjauan Persepsi Awam Mengenai Kesihatan yang dijalankan oleh Persatuan Perubatan Malaysia dan Novartis Malaysia mendedahkan jurang ketara antara persepsi dan realiti kesihatan. Walaupun 98% responden percaya mereka berada dalam keadaan kesihatan yang baik atau sederhana kerana bersenam dan menjaga pemakanan, hanya 66% menjalani saringan kesihatan tahunan walaupun 85% pernah melakukannya sebelum ini. Tambahan pula, tiga daripada empat rakyat Malaysia telah didiagnosis dengan keadaan berkaitan kardiovaskular, termasuk kolesterol tinggi (37%), tekanan darah tinggi (29%), dan diabetes (13%).
Penyakit kardiovaskular merupakan pembunuh utama di Malaysia, dengan penyakit tidak berjangkit (NCD), terutamanya penyakit kardiovaskular aterosklerotik (ASCVD), menyebabkan 72% kematian pramatang. Lebih membimbangkan, penyakit jantung kini menjejaskan rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda, dengan 25% kes berlaku dalam kalangan individu di bawah umur 50 tahun. Tabiat pemakanan yang buruk dan paras kolesterol LDL yang tinggi menjejaskan 41% orang dewasa di Malaysia, menyumbang secara signifikan kepada kadar penyakit jantung. Pengurusan LDL-C, atau “kolesterol jahat”, amat penting untuk kesihatan jantung. Dr. Wan Faizal menekankan bahawa pengurangan LDL-C sebanyak hanya 1 mmol/L boleh mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular sebanyak 22%. Ini memerlukan gabungan perubahan gaya hidup dan rawatan perubatan.
Rawatan untuk menurunkan kolesterol telah berkembang dengan pesat dan kini lebih mudah, dengan sesetengah terapi hanya memerlukan pengambilan dua kali setahun. Pesakit perlu mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan jantung mereka dengan berunding dengan doktor, bertanya soalan, dan menjejak kemajuan mereka menggunakan teknologi.
Ramai rakyat Malaysia menangguhkan atau tidak menjalani pemeriksaan kesihatan berkala semasa musim perayaan, dengan anggapan mereka boleh “kembali ke landasan yang betul” kemudian. Namun begitu, pengesanan awal adalah kunci untuk mencegah komplikasi serius berkaitan jantung.
Dr. Wan Faizal menasihatkan agar musim selepas perayaan dijadikan peluang untuk menilai kesihatan jantung, kerana ia mencerminkan keadaan kardiovaskular yang sebenar dan bukannya turun naik sementara. Tempoh selepas sambutan perayaan ialah masa di mana kesan daripada pengambilan makanan berlebihan paling ketara, sekali gus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang paras kolesterol, tekanan darah, dan kesihatan jantung secara keseluruhan.
Dengan menjalani penilaian kesihatan, individu boleh mengesan tanda-tanda awal dan mengambil langkah pembetulan sebelum komplikasi serius berlaku. Kalkulator risiko daripada platform ‘Unblocked’ membolehkan individu menganggarkan risiko kardiovaskular mereka, sekali gus memudahkan pengambilan langkah pencegahan secara proaktif. Kalkulator risiko ‘Unblocked’ ialah alat dalam talian yang direka untuk membantu individu menilai risiko kardiovaskular mereka dengan menganalisis faktor seperti paras kolesterol LDL dan maklumat kesihatan peribadi.
Dengan memasukkan keputusan LDL-C, kalkulator ini menganggarkan pendedahan terkumpul terhadap kolesterol jahat dan meramalkan purata umur seseorang mungkin mengalami serangan jantung pertama.
Selain itu, ia turut menyediakan senarai semak risiko yang komprehensif, membolehkan pengguna mengenal pasti faktor penyumbang lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes, tabiat merokok, obesiti, dan sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung. Penilaian peribadi ini membantu individu memahami kesihatan jantung mereka dengan lebih mendalam dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus serta mengurangkan risiko kardiovaskular.
Namun begitu, penilaian kendiri sahaja tidak mencukupi. Pemeriksaan kesihatan berkala, ujian tekanan, dan penilaian perubatan perlu diberi keutamaan — walaupun ketika musim perayaan. Ujian-ujian ini memberikan pandangan penting mengenai kesihatan kardiovaskular dan membantu individu mengambil tindakan tepat pada masanya untuk mengawal kolesterol serta faktor risiko lain.
Puasa berselang (intermittent fasting) juga boleh memberikan manfaat kepada kesihatan jantung sekiranya diamalkan dengan betul. Ia terbukti dapat meningkatkan paras hormon pertumbuhan, mengawal glukosa, dan memperbaiki tindak balas insulin— dengan syarat pengambilan makanan semasa waktu makan adalah seimbang. Dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang mampan, individu boleh mengurus paras kolesterol dan kesihatan kardiovaskular mereka dengan lebih baik secara keseluruhan. Menggabungkan puasa berselang dalam gaya hidup yang lebih prihatin terhadap jantung dapat melengkapkan strategi penjagaan jantung yang lain dan mengukuhkan kesejahteraan jangka panjang.
Bagi mereka yang baru didiagnosis dengan kolesterol tinggi, Dr. Wan Faizal memberikan keyakinan: “Pengurusan kolesterol adalah proses jangka panjang. Pesakit harus bekerjasama rapat dengan pegawai kesihatan untuk mencari pelan rawatan yang sesuai, sama ada melalui penyesuaian gaya hidup, ubat-ubatan, atau pilihan rawatan baharu yang lebih berkesan dan mampu mengawal kolesterol secara berterusan.”
Memandangkan penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di negara ini, rakyat Malaysia perlu mengambil langkah yang proaktif. Dengan membuat pilihan yang bijak semasa musim perayaan dan seterusnya, individu boleh terus menikmati sambutan dengan hati yang sihat untuk tahun-tahun akan datang.
Follow us on:
Read More News at #latestmalaysia #BusinessNews and #WorldFuture


