KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang dijadual berlangsung Disember ini sebagai menghormati persefahaman politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Keputusan itu menyusul tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) yang pada 21 November lalu turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Dengan perkembangan tersebut, DAP kini menjadi satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding dalam PRN Sarawak kali ini, sekali gus memikul peranan sebagai wakil utama pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Sarawak
Dalam perkembangan berkaitan, DAP Sarawak mengumumkan tujuh lagi calon yang akan mewakili parti itu pada PRN Sarawak ke-13.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, akan mempertahankan kerusi Kota Sentosa, manakala penyandang Pending, Violet Yong, turut mempertahankan kerusinya.
Calon lain yang diumumkan ialah bekas anggota polis Lim Nee Kon bagi kerusi Opar, Michael Kong (Padungan), Jordan Soo (Batu Kitang), Sim Kiat Leng (Batu Kawa) dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang akan bertanding di Batu Lintang.
Ketika berucap pada malam mobilisasi parti di sini malam tadi, Chong berkata barisan calon berkenaan mencerminkan komitmen DAP untuk memperkukuh kehadiran parti dalam DUN Sarawak serta memastikan wujudnya pembangkang yang berkesan.
GPS
“Perkara yang boleh kami pastikan ialah selepas pilihan raya negeri akan datang, GPS terus membentuk kerajaan negeri. Namun, kepentingan untuk mempunyai pembangkang yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan pembangkang yang kuat dan konstruktif penting bagi memastikan tadbir urus negeri terus dipantau demi kepentingan rakyat Sarawak.

