Op Patuh bermula esok, pasaraya diserbu

1 min read

PUTRAJAYA: Seperti sebelum-sebelum ini apabila kerajaan mengetatkan langkah kawalan pergerakan, orang ramai menyerbu pasaraya bagi mendapatkan barang-barang keperluan.

Keadaan sama berulang hari ini apabila mereka hadir di pasaraya sejak awal pagi menjelang pelaksanaan Op Patuh yang akan diadakan secara besar-besaran di seluruh negara bermula esok.

Op Patuh akan memberi lebih tumpuan kepada negeri mempunyai kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Kali ini turut menjadi sasaran ialah kilang-kilang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya sudah menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan COVID-19.

Katanya, menerusi operasi itu, pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan dikenakan tindakan.

“Sebelum ini banyak tangkapan dibuat di Selangor dan Kuala Lumpur, malah siasatan terhadap pekerja warga asing ini mendapati ada sesetengah yang menjadi kontak rapat kerana rakannya dijangkiti COVID-19, namun mereka tidak dikuarantin.

“Semua maklumat ini kita ambil dan akan membuat tangkapan ketika Op Patuh termasuk majikan. Ini kerana majikan bukan saja melakukan kesalahan, tetapi turut menzalimi pekerja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, hari ini.

Bagi kelancaran operasi itu di peringkat lapangan, Hamzah berkata, operasi akan diketuai ketua polis daerah masing-masing sebagai komander lapangan bersama semua anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi lain.

“Kita menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua ketua polis daerah yang terbabit dengan pemantauan Op Patuh,” katanya.

HELIKOPTER DAN DRON

Hamzah berkata, Op Patuh itu juga akan menggerakkan aset seperti helikopter dan dron bagi memantau kawasan operasi.

“Selalunya apabila kita masuk pintu depan, pekerja akan keluar ikut pintu belakang. Jadi helikopter dan dron ini dapat melihat keseluruhan kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju menyelaraskan penugasan penguatkuasaan pematuhan SOP COVID-19 bagi mengelak berlaku pertindihan pemantauan oleh agensi penguat kuasa.

“Bagi sektor perkilangan, agensi peneraju ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala untuk restoran dan kedai makan ia bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu bagi sektor perniagaan, pengedaran dan peruncitan pula di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Mengulas operasi bersepadu dijalankan pihaknya dari 25 Jun hingga semalam, Hamzah berkata, 126,207 premis seperti kilang, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan diperiksa dengan 602 kompaun dikeluarkan, manakala 60 daripadanya diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP serta arahan PKP.

Photo: Azman Ahmad Termizi

Leave a Reply

Previous Story

A Flying Car With BMW Engine And Regular Fuel?

Next Story

Check MySejahtera for your second AZ dose appointment

Latest from Blog

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
0 $0.00

Discover more from Latest Malaysia

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading

Verified by MonsterInsights