Kuala Lumpur: England melangkahkan kaki ke pusingan separuh akhir EURO 2020 untuk bertemu Denmark setelah menewaskan Ukraine 4-0 di pusingan suku akhir pagi tadi.
Kemaraan England disambut gembira penyokongnya yang begitu ramai di Malaysia memandangkan peminat bolasepak di negara ini secara tradisi sudah biasa mengikuti perkembangan pasukan itu.
Media sosial menyambut kemenangan England dengan mengumpul dan berkongsi beberapa fakta menarik.
Antaranya ialah pasukan England mencatat sejarah bolasepak Eropah sebagai pasukan pertama yang memulakan kempen dengan lima perlawanan tanpa bolos.
Pengurus pasukan England Gareth Southgate pula mencatat sejarah sebagai pengurus England kedua paling banyak mencatat kemenangan di kejohanan utama peringkat dunia dan Eropah, selepas Alf Ramsey.
Southgate juga muncul sebagai pengurus kedua pasukan England yang berjaya membawa pasukan itu mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan besar secara berturut-turut iaitu Piala Dunia 2018 dan sekarang EURO2020.
Pengurus pertama berbuat demikian ialah Ramsey di Piala Dunia 1966 dan EURO1968. Penyerang Karry Kane pula kini muncul penjaring gol kedua paling banyak untuk England selepas Gary Lineker.
Kane juga adalah pemain Tottenham Hotspurs yang pertama menjaringkan dua gol untuk England dalam satu perlawanan sejak Teddy Sheringham berbuat demikian di EURO1996 ketika menentang Belanda.
Penyokong Manchester United pula tentu gembira melihat aksi mantap Luke Shaw dan kapten mereka Harry Maguire yang sudah kembali pulih dari kecederaan manakala penyokong Liverpool pula meraikan prestasi kapten mereka Jordan Henderson yang turut menjaringkan gol pagi tadi.
Henderson juga dicatatkan sebagai pemain England paling lama menanti kehadiran gol petamanya iaitu pada penampilan ke 62 beliau.
Rekod berkenaan sebelum ini dipegang oleh Sol Campbell pada penampilan beliau yang ke 47 sebagai pemain England.

[…] England bertemu Denmark Esok […]