Tiba-tiba hari ini sibuk diperkatakan mengenai jawatan Perdana Menteri interim. Ini berikutan berita mengatakan UMNO telah membuat keputusan tidak lagi menyokong Pakatan Nasional dan dengan itu kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal tumbang.
Bagaikan sudah menghidu UMNO akan membuat keputusan sedemikian pada sebelah malam, ahli politik veteran dan juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, segera menghantar mesej beliau bersedia dan tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri interim.
Secara beralas, beliau berkata sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab itu demi kepentingan rakyat sekiranya negara sekali lagi berdepan dengan krisis politik seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu.
Namun begitu, seandainya kancah politik sekarang ini berlarutan hingga benar-benar memerlukan kerajaan campuran ditubuhkan dan seorang Perdana Menteri interim dilantik, sudah pasti masing-masing parti mempunyai hak mengemukakan nama calon masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah. Apatah lagi Al Sultan Abdullah terkenal sebagai pemerintah yang telus dan lebih gemar memberi peluang dan mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat apa-apa keputusan penting.
Jika begitu halnya, siapakah calon pilihan Perdana Menteri interim dari UMNO ? Siapa pula calon dari parti-parti lain? Atau adakah Muhyiddin akan terus diminta meneruskan kepimpinannnya buat sementara waktu selaku Perdana Menteri interim. Adakah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed akan diberikan jawatan itu?
Sementara itu media sosial turut rancak memberikan beberapa cadangan nama-nama yang mereka fikir layak dan wajar diberi peluang untuk mengisi jawatan Perdana Menteri interim, malah membuka ruangan untuk undian.
WAN AZIZAH?
Akaun twitter Kan-toi memberikan tiga nama tokoh tetapi kesemuanya wanita iaitu Tan Sri Rafidah Aziz, Dato’ Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Rina Harun untuk dipilih melalui undian. Setakat artikel ini ditulis, Dr Wan Azizah jauh mendahului di depan dengan mengumpul 80 peratus undian.
“Memandangkan kaum lelaki dari setiap parti macam tak boleh nak uruskan pandemik ni, ini cadangan kami. Kami cadangkan iron lady dari setiap parti utama untuk menjadi interim #perdana menteri,” kata pemilik akaun berkenaan.
Hakikat sebenarnya, keadaan masih amat mengelirukan dan rakyat berhak diberikan kefahaman lebih jelas mengenai apa yang sedang berlaku.
Malah jawatan Perdana Menteri interim yang diperkatakan itu juga perlu disemak betul-betul oleh pakar perlembagaan terlebih dahulu adakah peruntukkan sedemikian benar-benar wujud dalam undang-undang negara?
Perkembangan terbaru yang didengari ialah keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin itu berkemungkinan menyebabkan Perdana Menteri itu terpaksa melalui proses undi tidak percaya di mesyuarat Parlimen yang akan datang. Tunggu dan lihat.
