Pembukaan semula sempadan untuk perjalanan dan perdagangan antarabangsa pada 1 April mungkin akan menyebabkan peningkatan dalam dagangan dan pemerdagangan haram terutamanya rokok haram ekoran permintaan kekal teguh disebabkan tekanan inflasi dan kadar kelaziman merokok yang tinggi dalam kalangan B40, kata satu badan pemikir yang berpangkalan di Malaysia hari ini.
Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE) menunjukkan bahawa penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan semasa pandemik COVID19 telah memainkan peranan dalam menyekat keupayaan sindiket jenayah untuk menyeludup barangan terlarang seperti rokok dan alkohol dari negara asing ke Malaysia. Pengagihan barangan ini ke seluruh negara turut terbantut apabila perjalanan antara negeri disekat.
Selain itu, DARE juga berkata bahawa langkah Kerajaan untuk membendung masalah rokok haram yang kritikal melalui beberapa siri inisiatif dalam Bajet 2021, termasuk larangan pemindahan kapal, cukai rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai dan zon bebas serta semakan dan pembekuan lesen import, telah memperlihatkan hasil yang memberangsangkan.
Kajian Rokok Haram (ICS) Neilsen 2021 di Malaysia oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menunjukkan bahawa insiden perdagangan haram telah menurun sebanyak 6.5 mata peratusan kepada 57.3% daripada 63.8% tahun lalu.
Perdagangan Rokok Haram
Pankaj Kumar, Pengarah Urusan DARE, berkata, “Ia adalah gabungan pelbagai faktor secara kolektif yang telah menurunkan paras rokok haram di pasaran buat pertama kalinya dalam tujuh tahun. Malangnya, ia mungkin terbantut kerana kami menjangkakan penyeludup rokok haram akan mengambil peluang ketika anggota penguatkuasa melonggarkan kawalan apabila perjalanan antarabangsa disambung semula dan berkuat kuasa sepenuhnya.”
“Kerajaan Malaysia tidak boleh berputus asa dengan tekanan ini sebaliknya perlu meningkatkan usaha membanteras perdagangan rokok haram. Untuk mencapai matlamat ini, lebih banyak usaha dilakukan antaranya memperluaskan usaha penambahbaikan dan mengkaji dasar yang boleh menghalang perdagangan haram.”
Pankaj menjelaskan, pertama sekali, Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual rokok di bawah harga minimum RM12 setiap pek seperti yang ditetapkan KKM sendiri.
“Daripada meletakkan tanggungjawab semata-mata kepada agensi penguatkuasaan lain atau meletakkan kesalahan pada rasuah, KKM boleh mengambil sikap tegas dan mengetuai penguatkuasaan terhadap isu yang menjejaskan kesihatan awam ini,” tambahnya.
Hukuman bagi menjual rokok di bawah RM12 adalah denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pankaj juga berkata bahawa rancangan KKM untuk mengharamkan penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 2005 adalah konsep yang ideal, namun hakikatnya, idea murni ini sebenarnya tidak akan mencapai matlamatnya jika akses kepada rokok haram menjadi lebih mudah.
“Pengharaman generasi terhadap penjualan rokok dan vape juga merupakan ancaman bagi ekonomi Malaysia. DARE membayangkan bahawa ia mungkin tidak hanya berhenti pada rokok dan akan ada pihak yang membuat langkah untuk mengharamkan sektor lain seperti alkohol dan bir, permainan komputer dan juga platform hiburan penstriman dalam talian.
Peranan lebih pro-aktif
“Kecenderungan negara memilih ke arah ‘nanny-state’ akan memberi implikasi teruk kepada keupayaan Malaysia untuk menarik pelabur dan merangsang perbelanjaan domestik. Sebelum kita sampai ke peringkat itu, bahaya yang jelas dan nyata kepada ekonomi negara kita ialah masalah perdagangan rokok haram yang kronik yang mana KKM boleh memainkan peranan yang lebih pro-aktif dari segi penguatkuasaan.”
“Kami di DARE percaya bahawa membasmi perdagangan rokok haram sepenuhnya melalui penyelarasan antara kementerian, meningkatkan penguatkuasaan kawasan pedalaman dan pantai, mengekalkan inisiatif yang ditetapkan dalam Bajet 2021 serta memanjangkan moratorium eksais dapat mengatasi peningkatan dalam perdagangan haram dan mengurangkan dominasi pasaran rokok haram,” akhirinya.
Menurut kaji selidik DARE yang bertajuk Winning The War On Tobacco Black Market Oktober 2021, sindiket jenayah kini mengaut RM8 bilion setahun dalam jumlah hasil jualan produk tembakau haram di Malaysia, manakala Kerajaan kerugian sekitar RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip.
