Kuala Lumpur, 3 September 2025 — Consumer Choice Center (CCC) Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya ketelusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu rokok elektronik dan produk vape, susulan taklimat tertutup oleh Menteri Kesihatan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan pada 21 Julai 2025.
Sehingga kini, butiran taklimat tersebut tidak didedahkan kepada umum mahupun Ahli Parlimen di luar JKPK. Malah, apabila ada Ahli Parlimen lain meminta penjelasan, mereka dimaklumkan bahawa sesi tersebut hanyalah untuk tatapan dalaman JKPK.
Ketelusan Diperlukan: CCC Malaysia Desak Kementerian Kesihatan Laksanakan Peraturan Vape Sedia Ada, Bukan Dorong Larangan
“Ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam proses dasar. Menyembunyikan maklumat penting bukan sahaja bercanggah dengan prinsip demokrasi, malah boleh menjejaskan keyakinan orang ramai. Sesuatu dasar tidak akan berjaya jika ia digubal secara tertutup tanpa penglibatan pihak berkepentingan,” kata Tarmizi Anuwar, Wakil CCC Malaysia.
CCC amat bimbang dengan hasrat Menteri Kesihatan untuk mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri bagi mencadangkan larangan menyeluruh ke atas rokok elektronik dan produk vape. Menurut CCC, langkah ini tidak wajar dan berpotensi gagal atas tiga sebab utama:
- Akta 852 masih baharu. Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) hanya mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024, iaitu belum pun setahun. Kerajaan sepatutnya menilai dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada terlebih dahulu sebelum memperkenalkan larangan baharu.
- Ketidakselarasan dasar antara bidang kuasa. Kegagalan menyelaras di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan telah menimbulkan kekeliruan mengenai jualan vape serta salah faham tentang potensi penggunaannya sebagai alat berhenti merokok. Di beberapa negeri, kegagalan koordinasi ini malah membawa kepada larangan terus terhadap jualan vape walaupun Akta 852 merupakan undang-undang persekutuan. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan penguatkuasaan tetapi juga mencetuskan ketidakpastian kepada pengguna dan peniaga.
- Pengalaman antarabangsa. Sebagai contoh, United Kingdom berjaya mengawal selia produk vape sambil mengiktirafnya sebagai alat pengurangan mudarat, sekali gus menurunkan kadar merokok tanpa perlu melaksanakan larangan menyeluruh. Sebaliknya, pengalaman global menunjukkan larangan hanya mengundang kesan negatif. Di Afrika Selatan, larangan jualan rokok selama lima bulan pada 2020 menyebabkan 93% perokok terus membeli melalui pasaran tidak formal, harga melonjak sehingga 250% dan perdagangan haram berkembang pesat. Di Brazil pula, larangan vape terbukti gagal, dengan penguatkuasaan lemah dan akses pengguna kepada pasaran gelap berterusan. Ini membuktikan bahawa larangan bukan mengurangkan tetapi menggalakkan penggunaan tidak sah.
Tarmizi turut memberi amaran:
“Melaksanakan larangan secara total hanya akan menggalakkan pertumbuhan pasaran gelap, menyukarkan penguatkuasaan dan menafikan akses pengguna kepada alternatif yang lebih selamat. Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara lain di mana larangan keras gagal dan hanya menguatkan perdagangan haram.”
Bagi memastikan dasar ini dilaksanakan dengan baik, CCC menggesa KKM menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Vape yang dianggotai oleh wakil kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO, pengguna dan pengusaha. Jawatankuasa ini akan memastikan pelaksanaan dasar lebih inklusif, teratur dan praktikal.
“Malaysia sepatutnya memperkukuh penguatkuasaan, bukan melemahkannya dengan larangan terburu-buru. Dengan menegakkan undang-undang sedia ada dan mengguna pakai pendekatan berasaskan bukti, kita boleh melindungi pengguna, meningkatkan kesihatan awam, serta mengelakkan kesilapan yang pernah berlaku di negara lain,” Tarmizi menutup kenyataannya.
Follow us on:
Read More News at #latestmalaysia #BusinessNews and #WorldFuture


