Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Pusat Pilihan Pengguna (Consumer Choice Center, CCC), sebuah kumpulan advokasi pengguna bukan berasaskan keuntungan, menyeru para pengguna untuk lebih memahami perjalanan minyak sawit mampan dari penanaman hingga ke pembungkusan, serta mengiktiraf peranannya yang penting dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.
Kisah Minyak Sawit
Wakil CCC, Tarmizi Anuwar berkata, “Pengguna perlu melihat keseluruhan kisah di sebalik minyak sawit mampan. Ia bermula daripada petani yang bertanggungjawab dan perlu mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang memastikan setiap langkah pengeluaran memenuhi standard alam sekitar dan sosial yang tinggi. Komitmen terhadap kemampanan ini bukan sahaja melindungi ekosistem kita, tetapi juga memastikan minyak sawit yang sampai kepada pengguna adalah berkualiti tinggi.”
Pensijilan MSPO merupakan piawaian kebangsaan Malaysia yang mempromosikan amalan pertanian mampan dalam kalangan pekebun kecil dan pengusaha ladang. Ia memastikan kebolehkesanan, amalan buruh yang adil dan kesan minimum terhadap alam sekitar, sekali gus membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab.
Transformasi Industri Minyak Sawit

Transformasi industri kini mula membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya mengurangkan kehilangan hutan asli sebanyak 57% antara tahun 2015–2017 dan 2020–2022, serta mencatatkan penurunan tambahan sebanyak 13% pada tahun 2024. Buat pertama kali, Malaysia tidak lagi berada dalam senarai 10 negara teratas bagi kehilangan hutan tropika utama, menurut data Global Forest Watch.
Sejak tahun 2019, pengeluaran minyak sawit Malaysia tidak melebihi 19.85 juta tan, sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan kawasan tanaman sawit sebanyak 4.2% (247,588 hektar) dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Penurunan ini ekoran keputusan Malaysia untuk tidak memperluas kawasan tanaman baharu demi memelihara alam sekitar. Sebagai perbandingan, dalam pada Malaysia mengurangkan kawasan tanaman matang, industri minyak sayuran lain terus berkembang. Contohnya, Brazil telah menambah kawasan tanaman soya sebanyak 6 juta hektar — lebih besar daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit Malaysia yang kini berjumlah 5.65 juta hektar selepas lebih satu abad penanaman.
Kebaikan Minyak Sawit
Tarmizi berkata, persepsi awam terhadap minyak sawit sering kali diselubungi maklumat yang tidak tepat. “Minyak sawit bukan musuh; ia adalah sumber yang sering disalah tafsir. Apabila dihasilkan di bawah piawaian MSPO, ia dapat menyokong pemuliharaan alam sekitar dan kesihatan manusia. Menyokong minyak sawit mampan bermakna menyokong petani kita, hutan kita dan kesejahteraan kita.”
Beliau menambah, “Apabila kita bercakap tentang kemampanan, kita juga bercakap tentang kesihatan. Minyak sawit secara semula jadi bebas lemak trans, kaya dengan tokotrienol vitamin E, serta mempunyai komposisi lemak seimbang yang menjadikannya minyak masakan yang stabil dan berkhasiat. Ciri-ciri ini menjadikan minyak sawit antara pilihan yang lebih sihat untuk kegunaan rumah mahupun industri makanan.”
CCC memperjuangkan pilihan pengguna yang berasaskan fakta sahih dan proses yang telus. “Pengguna mempunyai kuasa untuk mendorong perubahan positif dengan memilih produk yang diperakui MSPO. Setiap pembelian menghantar mesej bahawa kemampanan dan kesihatan adalah penting,” ujar Tarmizi sebagai penutup.
Dalam dunia yang pantas menyebarkan maklumat tidak sahih, CCC terus mempromosikan perbincangan berasaskan bukti serta menggalakkan industri, pembuat dasar dan pengguna menegakkan ketelusan dan akauntabiliti. Organisasi ini kekal komited untuk memperkasa rakyat Malaysia membuat pilihan yang mampan, beretika dan bermanfaat untuk kesihatan jangka panjang.
Follow us on:
Read More News at #latestmalaysia #BusinessNews and #WorldFuture


