Langkah Strategik Memperkukuh Kedudukan Sebagai Hab Komuniti, Borong dan Gaya Hidup di Klang.
Klang, 4 Nov 2025 – GM Klang melakar sejarah baharu apabila secara rasmi melanjutkan waktu operasi kepada 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, menandakan fasa transformasi penting pusat borong terbesar di Malaysia ini ke arah menjadi hab komuniti dan gaya hidup yang lebih dinamik, siang dan malam. Majlis pelancaran pada 1 November telah disempurnakan oleh Datuk Haji Abd Hamid Hussain, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), dan disaksikan oleh Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, serta Datuk Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang. Peristiwa ini turut menjadi simbol penghargaan kepada jutaan pelanggan yang menjadi nadi kejayaan GM Klang sejak 2009.
Menempa satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan transformasi GM Klang, majlis turut diserikan dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GM Klang dan enam rakan strategik baharu dalam segmen rekreasi, sukan dan gaya hidup. Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh tetamu kenamaan yang sama semasa majlis pelancaran.
GM Klang – Waktu baharu
Menandatangani bagi pihak GM Klang ialah Foo Loke Ping, Ketua Pegawai Operasi GM Klang. MoU ini melibatkan D2 Arena (Futsal), Kfitness Gym (Gimnasium), JAQS Padel & Pickle PLT (Pickleball dan Paddleball), Doremart (Pasar Raya), 33 Food Court (Medan Selera) dan Positif@Klang (Kendera Saji). Kesemuanya bakal memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan serta memperluas tawaran gaya hidup di GM Klang.
Menurut Foo, pemeteraian ini merupakan langkah strategik ke arah menjadikan GM Klang bukan sahaja destinasi borong terkemuka, malah hab gaya hidup moden yang menarik pelbagai lapisan pengunjung, daripada pemborong dan peruncit hinggalah kepada keluarga serta komuniti tempatan. “Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan
baharu, tetapi turut memperkukuh konsep B2B2C (Business-to-Business-to-Consumer) di GM Klang, di mana kesemuanya berinteraksi dalam satu persekitaran lengkap, progresif dan menarik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi setempat,” ujarnya.

Sebagai simbolik kepada pelaksanaan waktu baharu ini, GM Klang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor, Tourism Selangor dan MBDK telah menganjurkan acara “Ceritera Selangor”, himpunan persembahan budaya yang mengetengahkan keindahan serta kepelbagaian warisan Negeri Selangor.
Inisiatif ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga usaha memperkukuh kempen Tahun Melawat Selangor 2025, selaras dengan peranan GM Klang sebagai salah satu Duta Pelancongan Bandar Klang. Persembahan selama dua jam itu menampilkan gabungan tarian tradisional, persembahan Mah Meri, Cempuling dan pelbagai elemen kebudayaan yang mencerminkan keunikan negeri ini.
Menurut Datuk Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang, pelanjutan waktu operasi ini mencerminkan satu evolusi penting dalam memperkasa nilai keseluruhan yang ditawarkan kepada pengunjung hari ini.
Nilai pengalaman
“Kami bukan sekadar melanjutkan waktu operasi, tetapi menambah nilai pengalaman. Ia merupakan tindak balas kepada kehendak pengunjung dan peniaga yang mahukan pengalaman yang lebih fleksibel, selesa dan holistik. Dengan pembangunan pesat di sekitar Bandar Botanik, termasuk projek LRT3, ini adalah masa terbaik untuk membawa GM Klang ke fasa baharu sebagai destinasi borong dan pelancongan gaya hidup yang lebih relevan dengan keperluan masa kini,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan GM Klang dalam meraih pengiktirafan Anugerah Emas di bawah program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) baru-baru ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan GM Klang untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan keseluruhan pengalaman pelanggan.
“Dengan kelebihan lokasi strategik serta sokongan komuniti yang berterusan, kami yakin GM Klang akan terus berkembang sebagai hab borong, pelancongan dan gaya hidup pilihan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau,” ujar Datuk Lim.
Bersempena dengan kempen waktu operasi baharu ini, GM Klang turut memperkenalkan pelbagai aktiviti dan program menarik untuk pengunjung, antaranya:
- Night Crazy Deals – promosi eksklusif bermula jam 7 malam setiap hari;
- Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win – cabutan bertuah bulanan dengan hadiah utama seperti motosikal, mesin basuh dan pengering, serta TV pintar 55”; dan
- Rioooh Malam Sabtu – siri acara mingguan bertema yang menawarkan hiburan dan pengalaman unik setiap hujung minggu.
Komitmen
Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen GM Klang untuk kekal segar dan progresif dalam mendukung agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelancaran waktu baharu turut menyaksikan pengenalan Dataran GM Klang, ruang acara utama yang diwujudkan untuk merancakkan aktiviti komuniti, kebudayaan, hiburan dan keusahawanan. Direka dengan konsep terbuka dan lokasi mesra pengunjung, dataran ini bakal menjadi platform tetap bagi acara yang meraikan kepelbagaian serta menggalakkan keterangkuman masyarakat setempat memperkukuh peranan GM Klang sebagai hab komuniti dan destinasi gaya hidup utama di Klang.
Table of Contents
Read More News on Latest Malaysia
Follow us on:
Read More News on Business News Malaysia
Read More News on SG Business News
Read More News on World Future TV

