////

Kanser Kolorektal Catat Kes Tertinggi Dalam Kalangan Lelaki Malaysia

3 mins read
Kanser Kolorektal
Dr. Jothinathan Muniandy, Pakar Bedah Am, Usus Besar & Dubur

Kuala Lumpur, 18 Nov 2025 – Kesan darah dalam najis, sakit perut ringan diikuti rasa ingin membuang air besar secara berterusan mungkin dianggap sebagai tanda buasir atau sakit perut biasa oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. 

Pakar Bedah Am dan Kolorektal di Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC), Dr. Jothinathan Muniandy memberi amaran, simptom yang kelihatan biasa ini lazimnya petunjuk awal kepada kanser kolon dan dubur atau juga dikenali sebagai kanser kolorektal. 

Menurut beliau, kanser ini paling kerap dialami golongan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia.

Malaysia National Cancer Registry Report 2017–2021 merekodkan bahawa kira-kira 70 peratus kes kanser kolorektal hanya didiagnos apabila telah berada di peringkat tiga atau empat.

“Apabila lewat dikesan, rawatan menjadi lebih sukar dan jangka hayat pesakit turut turun dengan ketara. Penyakit ini sebenarnya boleh dicegah atau dirawat jika dikesan pada tahap awal-awal lagi,” tegas Dr. Jothinathan.

Data yang diperoleh menunjukkan senario membimbangkan kerana hampir 10 peratus kes kanser di seluruh dunia terdiri daripada kanser kolorektal. Di Malaysia, kaum Cina merekodkan kes tertinggi, diikuti oleh Melayu dan India. Kanser kolorektal sebelum ini lebih sering berlaku pada pesakit warga emas, namun perubahan zaman menyaksikan peningkatan dalam kalangan individu lebih muda, iaitu mereka yang berusia 20an hingga 50an. 

Kanser Kolorektal

Doktor menjelaskan model kolon semasa perbincangan dengan pesakit mengenai kesihatan kolon.
Dr. Jothinathan Muniandy menyeru para pengamal perubatan am supaya membiasakan diri berbincang tentang kesihatan usus, memandangkan doktor penjagaan primer merupakan barisan pertahanan pertama dalam mengesan masalah berkaitan.

Trend ini disifatkan pakar sebagai ‘amat membimbangkan dan mencerminkan perubahan gaya hidup serta corak pemakanan’.

Jelas Dr. Jothinathan, saringan awal ialah langkah paling berkesan untuk mengubah keadaan ini. Ujian darah samar najis imunokimia (iFOBT) dan ujian najis M2-PK mudah dilakukan dengan harga mampu milik dan boleh dibuat di kebanyakan klinik.

“Ujian tanpa invasif ini boleh mengesan darah tersembunyi atau penanda enzim lebih awal sebelum kemunculan sebarang simptom. Bagi mereka yang didapati positif keputusannya, kolonoskopi akan dicadangkan sebab saringan ini membolehkan doktor mengenal pasti dan membuang ketumbuhan yang mencurigakan semasa prosedur dilakukan,” katanya.

Walaupun saringan disyorkan bermula pada usia 50 tahun bagi individu berisiko sederhana, Kementerian Kesihatan Malaysia dan American Cancer Society telah mengemas kini garis panduan supaya saringan boleh dimulakan seawal usia 45 tahun, memandangkan peningkatan kes dalam kumpulan usia lebih muda. Bagi individu dengan sejarah keluarga, Dr. Jothinathan menasihatkan supaya saringan dimulakan pada usia 40 tahun, atau 10 tahun lebih awal daripada usia diagnosis ahli keluarga terdekat.

Walaupun saringan tersedia secara meluas, kadar kesedaran masih rendah apabila kurang daripada 20 peratus individu dewasa mengambil peluang ini. Masih ramai rakyat Malaysia mengelak daripada menjalani saringan kerana takut, stigma atau malu. 

Gambar menunjukkan prosedur kolonoskopi dengan instrumen yang digunakan untuk mengambil polip dari kolon.
Koloskopi, yang dianggap sebagai piawaian emas, membolehkan doktor membuat diagnosis dan pada masa yang sama membuang sebarang ketumbuhan yang mencurigakan dalam satu sesi pemeriksaan.

“Ramai risau kolonoskopi menyakitkan, atau tidak selesa untuk berbincang tentang bahagian tubuh itu. Hakikatnya, kebanyakan ujian ini cepat, tidak menyakitkan dan boleh menyelamatkan nyawa,” tambah beliau.

Menurut Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kanser Kolorektal (2021–2025), pengesanan awal meningkatkan jangka hayat dengan ketara kerana sekitar 75.8 peratus pesakit yang dikesan pada peringkat satu berupaya hidup melebihi lima tahun, berbanding hanya 17.3 peratus bagi peringkat empat. Namun, tahap kesedaran masih menjadi halangan utama.

CORUM

Klinik kerajaan dan NGO seperti Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta Colorectal Cancer Survivorship Society Malaysia (CORUM) kini menawarkan saringan percuma, tetapi penyertaan masih kurang menggalakkan. Dr. Jothinathan percaya bahawa integrasi peringatan saringan berkala dalam sistem kesihatan negara seperti yang diamalkan di Jepun, Singapura dan UK, akan meningkatkan kadar pengesanan awal dengan ketara.

Selain pencegahan kanser, Dr. Jothinathan menegaskan bahawa kesihatan kolon dan dubur memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan menyeluruh. Pemakanan seimbang yang tinggi serat, buah-buahan dan bijirin penuh serta senaman berkala, tidur mencukupi, dan pengurusan stres, semuanya menyumbang kepada usus dan tubuh yang sihat. 

“Kesihatan usus mempengaruhi segala-galanya, daripada penghadaman hingga emosi dan tahap tenaga. Usus yang sihat mencerminkan kehidupan yang sihat,” katanya.

Dr. Jothinathan turut menggesa pengamal perubatan am supaya menormalisasi perbincangan tentang kesihatan usus memandangkan mereka adalah barisan pertahanan pertama.

Mesejnya mudah tetapi mustahak; dengar isyarat tubuh anda, lakukan saringan awal, dan jangan tunggu sehingga kemunculan simptom. Kanser kolorektal boleh dicegah, dirawat dan disembuhkan, tetapi hanya jika dikesan tepat pada masanya.

LatestMalaysia

Table of Contents

News Malaysia and Global

Read More News on Latest Malaysia

Read More News on Business News Malaysia

Read More News on SG Business News

Read More News on World Future TV

Read More News #latestmalaysia

Leave a Reply

Previous Story

Malaysian OKU’s 10-Time SPM Journey Now Becomes A Teacher

Next Story

Anwar Denies Misusing Government Assets During Sabah Campaign

Latest from Blog

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
0 $0.00

Discover more from Latest Malaysia

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading

Verified by MonsterInsights