Kuantan, 16 Januari 2026 – AEON CO. (M) BHD. (“AEON”) terus memperluas kehadirannya di Pantai Timur dengan pembukaan pasar raya pertamanya di Kuantan, Pahang. Pasar raya seluas 49,331 kaki persegi yang terletak di Aras 2, East Coast Mall, Kuantan ini dijangka menjadi salah satu destinasi beli-belah utama di bandar Kuantan.
Majlis perasmian AEON Kuantan telah disempurnakan semalam oleh Dato’ Amizar Abu Adam, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, mewakili Menteri Besar Pahang, bersama beberapa ahli pengurusan kanan AEON. Pembukaan ini mencerminkan inisiatif pengembangan berterusan AEON serta peranannya dalam menyokong pembangunan sektor peruncitan dan merangsang aktiviti ekonomi yang lebih luas di negeri ini.
Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON berkata AEON Kuantan telah ditempatkan secara strategik sebagai destinasi beli-belah utama, khususnya bagi penduduk Kuantan dan kawasan sekitarnya. Dengan operasi sedia ada AEON Mall Kota Bharu di Kelantan, pembukaan AEON Kuantan memperluaskan rangkaian serantau AEON di Pantai Timur. AEON juga yakin dengan prestasi memberangsangkan East Coast Mall, disokong lokasinya yang strategik di pusat bandar Kuantan serta aliran pengunjung yang stabil. Kehadiran AEON di East Coast Mall dijangka akan meningkatkan lagi kedudukan AEON dalam landskap peruncitan Pantai Timur.

Dato’ Amizar Abu Adam (5th from left) launching the AEON Kuantan
Dato’ Amizar Abu Adam (5 dari kiri) merasmikan AEON Kuantan
Pasar Raya Pertama
AEON Kuantan menawarkan pelbagai pilihan barangan runcit segar dan berkualiti termasuk keperluan isi rumah, barangan basah dan makanan laut. Tawaran ini diperkaya dengan rangkaian produk sejuk segar dan pilihan makanan seperti AEON Delicatessen, Coco Café dan La Boheme, yang menepati selera pengguna masa kini. Susun atur produk yang terancang turut memberikan kemudahan dan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa kepada pelanggan.
Bagi meningkatkan kecekapan proses pembayaran, AEON Kuantan turut dilengkapi teknologi peruncitan inovatif seperti kaunter layan diri (Self-Checkout, SCO) dan troli pintar. Pilihan penghantaran dan pengambilan yang fleksibel juga disediakan melalui perkhidmatan myAEON2go.
AEON kekal komited terhadap usaha pengembangan dan penambahbaikan aset bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang. Pada Disember 2025, AEON telah memperkenalkan AEON STYLE Supermarket di Setia EcoHill, Semenyih. Beberapa pembukaan baharu lain turut dirancang dalam tahun ini, antaranya AEON KL Midtown yang terletak di KL Metropolis serta AEON STYLE Supermarket di Johor Bahru. Pada masa yang sama, AEON terus melaksanakan inisiatif naik taraf di beberapa cawangan terpilih di seluruh negara bagi memodenkan persekitaran peruncitannya.
Majlis ini juga menyaksikan Yayasan AEON Malaysia (MAF) menyumbangkan RM30,000 kepada tiga buah badan pertubuhan amal iaitu Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna, Rumah Anak-Anak Yatim Permata Camar dan Rapha Children’s Home.
Latest Malaysia

