NEW YORK: Kumpulan penyelidik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat asal usul Covid-19 kini beralih arah kepada misi mencari seorang pesakit wanita dari Itali.
Wanita berusia 25 tahun itu didakwa mengunjungi sebuah hospital di Milan dan mengadu sakit tekak serta mengalami luka pada kulit pada November 2019, sebulan sebelum kluster Wuhan menggemparkan dunia, demikian menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik agensi berita asing.
Kajian mendapati sampel kulit yang diambil dari wanita itu menunjukkan gejala Covid-19 ketika diuji sejak lebih enam bulan lalu.
Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan ada kemungkinan virus Covid-19 sudah menular di China dan tempat lain sebelum kluster Wuhan muncul pada Disember 2019.
Namun, identiti wanita itu sehingga kini tidak dapat dikenal pasti, sekali gus menyukarkan proses untuk mengesan kedudukannya.
Hospital Policlinico di Milan dan Universiti Milan memaklumkan mereka tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai wanita itu.
Menyukarkan lagi keadaan, pakar dermatologi yang merawat wanita itu, Dr. Raffaele Gianotti dilaporkan meninggal dunia pada Mac lalu, iaitu beberapa hari sebelum pasukan WHO ingin melakukan kajian lanjut terhadap pesakit berkenaan.
