KUALA LUMPUR: KENYATAAN Datuk Seri Amirudin Shari semalam berhubung punca peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor menimbulkan persoalan ke atas kenyataan-kenyataan yang dibuat kerajaan pusat sebelum ini.
Menteri Besar Selangor itu menunding jari kepada kilang sebagai jumlah kluster tertinggi di Selangor.
“Mengikut angka dan data terkini (sepanjang bulan Jun 2021), 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan (tempat kerja), iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak bina, bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini,” katanya pada pelancaran inisiatif ‘Vaksin Selangor’ (Selvax) semalam.
Manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata sektor itu hanya menyumbang 5 hingga 10 peratus kepada kes positif.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah pula sebelum ini berkata 69 peratus daripada kes positif daripada Januari hingga 19 Jun adalah kes sporadik.
Walaupun Amirudin hanya merujuk kepada data di Selangor, jelas ada perbezaan dari segi perspektif yang diambil berhubung punca penularan berterusan jangkitan Covid-19 yang sejak dua hari lalu mencecah angka lebih 6,000 kes.
Tafsiran data adalah penting kerana ia boleh mempengaruhi strategi yang dilaksana pihak berkuasa dalam menangani wabak global ini.
Sebelum ini, ramai tidak puas hati dengan keputusan kerajaan membenarkan hampir 100,00 kilang beroperasi sedangkan masyarakat berdepan dengan sekatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berkuatkuasa sekarang.
Kementerian Kesihatan mentakrifkan kes sporadik sebagai kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
Manakala, Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menjelaskan dalam satu video pendek yang dikongsikan melalui ciapan Twitter, baru-baru ini bahawa kes sporadik sebenarnya berasal dari kluster juga, termasuk tempat kerja.
Selangor mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di semua negeri, merangkumi 151,725 daripada 194,062 kes (78 peratus) yang dicatatkan dalam tempoh tersebut.
Ini bermaksud hanya 22 peratus kes di negeri itu yang dapat dikaitkan dengan sumber lain seperti kluster kilang atau kes import.
