Kuala Lumpur: HANYA kerana berkata “saya bersama #benderaputih” Datuk Zuraida Kamaruddin mencetus kemarahan warganet.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu diberi amaran agar jangan cuba untuk mengambil kredit di atas inisiatif yang dimulakan masyarakat online itu.
“Saya bersama dalam kempen #benderaputih ini bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera.🏳️,” kata Zuraida dalam satu ciapan twitter malam tadi.
Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.
Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.
Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.
Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi semakin ramai berkongsi mesej berkenaan.
Namun Kerajaan Perikatan Nasional, khususnya PAS menganggap menaikkan bendera putih sebagai mengaku kalah.
Salah seorang pemimpin PAS, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Nik Abduh Nik Aziz sebelum ini dikecam warganet selepas berkata rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT
Senada dengan pandangan Nik Abduh ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, yang berpendapat ada cara lain yang lebih baik dan menjaga maruah untuk orang ramai meminta bantuan selain menaikkan bendera putih yang sinonim dengan langkah mengibarkan kekalahan.
Zuraida tidak cuba menidakkan kempen rakyat itu bahkan memberi sokongan, namun warganet tetap berang, menggambarkan sikap tidak puas hati mereka terhadap prestasi kerajaan.
“Kau diamla Zuraida. Rakyat buat macam ini sebab kegagalan korang la,” komen @SyaheerAad.
“…Rakyat buat inisiatif untuk bantu sesama rakyat, baru lah konon nak “bersama”. Tak rasa hina ke terima gaji berpuluh ribu tapi …tak menyenangkan rakyat?,” tambah @MatYiie.
“Yang patut malunya awak. Rakyat jadi terdesak ni disebabkan kegagalan ketua awak dan awak sendiri. Sepatutnya Rakyat tak patut pun merayu untuk bantuan tapi kalau dah ada kerajaan …tak reti buat polisi untuk menjaga kebajikan Rakyat macam ni lah jadi nya,” ujar @nyamkitties menjawab@zuraida_my.
