Ahli kad Maybank kini boleh menikmati Apple Pay

1 min read

Maybank mengumumkan bahawa Kad Kredit, Debit dan Prabayar Maybank dan Maybank Islamic Mastercard® dan Visa kini boleh digunakan dengan perkhidmatan Apple Pay di Malaysia dan Singapura bermula 9 Ogos 2022 manakala Kad Maybank American Express® akan disertakan tidak lama lagi. Ahli kad Maybank akan mendapat manfaat daripada kegunaan perkhidmatan pembayaran selamat, tanpa sentuh dan mudah  ini yang merupakan usaha berterusan Bank untuk mengembangkan penawaran digital runcitnya seiring dengan evolusi trend gaya hidup pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Dato’ John Chong Eng Chuan berkata inisiatif ini mempamerkan komitmen berterusan Bank untuk menyediakan kaedah pembayaran digital yang lancar untuk pelanggannya.

“Dengan perkembangan berterusan dalam segmen perniagaan ini, disokong oleh bilangan pengguna kad sebanyak 15 juta di kedua-dua pasaran, Maybank berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kemudahan, keselamatan dan privasi Apple Pay yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami di kedua-dua negara.”

Apple Pay adalah cara yang selamat dan menekankan aspek privasi bagi pelanggan apabila mereka membuat sebarang pembayaran. Pelanggan dapat mengelak daripada menyerahkan kad pembayaran mereka kepada orang lain, menyentuh butang fizikal dan menukar wang tunai secara fizikal. Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu memegang iPhone atau Apple Watch mereka berhampiran terminal pembayaran untuk membuat pembayaran tanpa sentuh.

Selain itu, setiap pembelian Apple Pay adalah selamat kerana ia disahkan dengan pengesahan muka, sentuh, atau kod laluan peranti, serta kod keselamatan dinamik unik sekali. Apple Pay diterima di kedai runcit, farmasi, restoran, kedai kopi, kedai serbaguna dan pelbagai jenis kedai yang lain.

Pelanggan juga boleh menggunakan Apple Pay pada peranti iPhone, iPad atau komputer Mac melalui aplikasi atau pelayar web Safari, tanpa perlu mendaftar akaun atau mengisi maklumat penghantaran dan bil berulang kali. Pada masa yang sama, Apple Pay boleh digunakan untuk membuat pembayaran melalui aplikasi pada Apple Watch. Apple Pay memudahkan pembayaran untuk membeli-belah dalam talian, pengangkutan, tempahan perjalanan, tiket, restoran, antara lain.

“Sebagai salah satu institusi kewangan terkemuka di rantau ini, kami berbesar hati untuk membawa Apple Pay kepada pelanggan kami di Malaysia dan Singapura. Kaedah pembayaran digital revolusi ini akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan kami, sambil menyediakan satu lagi platform tambahan untuk mereka berurus niaga dalam talian dengan kelebihan dari segi mobiliti dan secara selamat,” tambah Dato’ John Chong. 

Apple Pay boleh digunakan dengan mudah. Pada iPhone, pelanggan cuma perlu buka aplikasi Wallet, ketik +, dan ikut langkah untuk menambah kad kredit atau debit Maybank. Setelah pelanggan menambahkan kad pada iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac, mereka boleh mula menggunakan Apple Pay pada peranti itu serta-merta. Pelanggan akan terus menerima semua ganjaran dan faedah yang ditawarkan oleh kad Maybank.

Leave a Reply

Previous Story

Bagaimana Untuk Mendapatkan FREEFLIGHT Ke Langkawi?

Next Story

Trump In Big Trouble?

Latest from Blog

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading

Verified by MonsterInsights