KANSER payudara adalah kanser yang paling banyak berlaku dalam kalangan wanita Malaysia dengan 48% daripada pesakit yang didiagnosis berada pada tahap tiga dan empat (kanser payudara tahap akhir). Kebarangkalian untuk hidup lima tahun selepas didiagnosis berbanding dengan kematian populasi am (kadar hidup relatif) adalah rendah iaitu pada 66.8%.
Oleh itu, kemampuan adalah penting memandangkan pesakit kanser payudara bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam untuk diagnosis, rawatan dan penjagaan kanser.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (MOH) telah melancarkan Pelan Strategik Nasional bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025. Sebahagian daripada bidang tumpuan utama termasuklah permohonan bagi penilaian teknologi kesihatan (HTA) bagi terapi bersasar yang baru, yang sedang dimohon bagi dimasukkan ke dalam Formulari MOH serta menambahbaik akses kepada terapi bersasar.
Program sedemikian adalah tindakan yang betul dan tepat dari segi hala tuju onkologi, demikian menurut Ketua Perkhidmatan Onkologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof.
“HTA perlu melibatkan ramai ahli onkologi dalam lembaga pengarahnya bagi membuat keputusan, bukan sahaja pakar ekonomi kesihatan dan doktor kerajaan kerana mereka mungkin tidak berani untuk meminta bajet atau dana kerana tidak mahu menyinggung kerajaan,” katanya kepada FocusM.
Dr Mastura yang juga setiausaha Persatuan Onkologikal Malaysia menambah bahawa HTA perlu menitik beratkan peruntukan dan mengekalkan akses (sumber) kepada terapi bersasar berdasarkan kepada tahap faedah klinikal yang ditawarkan oleh ubat-ubatan ini serta keberkesanan kos untuk melanjutkannya.
Beliau menjelaskan bahawa keberkesanan kos perlu dinilai berdasarkan kepada bukti yang ada tentang faedah dan ciri-ciri keselamatan yang baik, yang didapati daripada data ujian klinikal yang telah diumumkan. Biarpun begitu, ramifikasi daripada keputusan berkenaan perlu disesuaikan dengan populasi tempatan.
Kanser payudara metastatik
“Contohnya, tahap keberkesanan kos bagi menyediakan CDK 4/6i dan hormon berbanding kemoterapi IV terhadap pesakit kami yang mengidap kanser payudara metastatik adalah berkemungkinan lebih besar daripada yang dilaporkan dalam ujian bagi populasi global yang berbeza dalam bentuk karakteristik klinikal dan epidemiologikal,” jelas Dr Mastura.
“Ini kerana kita menghadapi penyakit yang lebih teruk, dalam kumpulan umur lebih muda and kadar keciciran untuk kemoterapi yang lebih tinggi.
“HTA boleh dilakukan secara berlainan mengikut petunjuk untuk menunjukkan perbezaan nilai; contohnya, penggunaan anti-HER2 yang mempunyai manfaat paling tinggi apabila digunakan sebagai penetapan barisan pertama dan bukannya hanya selepas kemoterapi telah gagal.”
Dr Mastura turut bersetuju bahawa terapi bersasar perlu diutamakan untuk memberikan pesakit kanser payudara tahap akhir kualiti hidup yang lebih baik.
“Pesakit boleh hidup lebih lama dengan lebih banyak rawatan inovatif seperti terapi bersasar apabila ia semakin mudah diperoleh pesakit. Ia tidak boleh sembuh tetapi boleh dirawat dan dikawal,” katanya.
“Kami ada kajian yang dilakukan lima hingga lapan tahun dengan kajian lanjutan, dan keputusannya telah menunjukkan kadar kemandirian serta kualiti hidup yang lebih baik dengan rawatan inovatif ini. Dengan jumlah yang semakin meningkat, kita berada pada era yang mengujakan dalam rawatan kanser payudara tahap akhir pada masa ini.”
Dr Mastura menjelaskan bahawa rawatan pada hari ini bermatlamat untuk kawalan jangka panjang, meneruskan kemandirian sambil meminimumkan kesan sampingan dan paling penting, mengembali dan mengekalkan kualiti hidup.
“Pada enam atau tujuh tahun lepas, kita telah mempunyai data konsisten yang menunjukkan penambahan empat jenis CDK4/6i kepada terapi hormon dalam ujian berbeza yang menghasilkan kemandirian bebas progres yang lebih baik (PFS), kemandirian menyeluruh (OS), kadar respon (RR) dan kualiti hidup serta ketoksikan yang terkawal dalam penetapan barisan pertama dan barisan kedua,” jelasnya.
“Kami juga mempunyai terapi bersasar bagi kanser payudara HER2-positif yang telah memanjangkan kemandirian pesakit dan memberikan mereka harapan namun rawatan ini bukanlah untuk setiap pesakit.”
Sasaran spesifik
Dr Mastura menjelaskan pesakit perlu mempunyai sasaran spesifik (mutasi) yang menjadi punca pertumbuhan kanser. Terapi spesifik diformulasi untuk menyekat sasaran itu agar kanser tidak lagi tumbuh.
“Penyelidikan dan pembangunan telah mengenalpasti sasaran ini (mutasi) sebagai punca kepada karsinogenesis, pertumbuhan tumor dan metastasis. Oleh itu, adalah logik untuk menangani atau memberi tumpuan serangan atau terapi kanser terhadap sasaran-sasaran ini,” jelasnya.
“Kesan sampingan adalah kurang kerana ubat-ubat ini hanya memberi tumpuan kepada karakter dan menyasarkan kepada sel kanser, bukan sel-sel biasa.”
Beliau menambah: “Pakar onkologi sentiasa mencadangkan kaedah berdasarkan bukti terkini yang ada dan yang mampu diperoleh, dan jika ada terapi inovatif melalui program akses atau ujian klinikal, kami juga akan menawarkannya kepada pesakit.”
Read more @LatestMalaysia
