KUALA LUMPUR, 12 Jun 2026 – Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA) berpandangan bahawa sebarang cadangan untuk melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape dan rokok elektronik susulan penemuan bahan terlarang dalam cecair vape perlu diteliti secara objektif dan berpandukan fakta.
Presiden MEVTA, Mohamad Nizam Talib berkata, isu pokok yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah penyalahgunaan dadah dan aktiviti jenayah, bukannya mengaitkan keseluruhan industri vape dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita perlu membezakan antara produk vape yang sah di pasaran dengan penyalahgunaan bahan terlarang oleh individu atau sindiket tertentu. Jika dadah dimasukkan ke dalam cecair vape, maka isu utamanya ialah dadah dan jenayah, bukan vape itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pemain industri yang sah tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang kerana mereka tertakluk kepada pelbagai keperluan pematuhan, percukaian dan standard perniagaan.
“Tambahan pula, pemain industri telah membuat pelaburan yang besar bagi memastikan pematuhan terhadap setiap keperluan kawal selia yang ditetapkan kerajaan sejak pelaksanaan Akta 852, termasuk aspek pelesenan, pematuhan operasi dan standard produk,” katanya.
penyalahgunaan dadah
Dalam pada itu, baru-baru ini, media telah melaporkan bahawa polis menggesa agar larangan menyeluruh dikenakan terhadap rokok elektronik dan peranti vape selepas dadah sintetik baharu ikesan dalam cecair vape.
Mohamad Nizam berkata, pendekatan larangan penuh terhadap vape berisiko menghasilkan kesan bertentangan daripada objektif asal dengan mengembangkan pasaran gelap yang lebih sukar dipantau dan dikuatkuasakan.
“Apabila produk sah disekat sepenuhnya, permintaan tidak akan hilang. Sebaliknya, aktiviti jual beli boleh beralih ke pasaran bawah tanah tanpa pemantauan, tanpa piawaian keselamatan dan tanpa akauntabiliti. Ini hanya akan menyukarkan lagi usaha pihak berkuasa membendung penyalahgunaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan lebih berkesan adalah melalui penguatkuasaan bersasar terhadap sindiket pengedaran dadah, aktiviti pencampuran bahan terlarang dalam cecair vape, serta penjualan produk tidak sah.
“Kita menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan vape untuk tujuan dadah. Mereka ini adalah penjenayah dan perlu diambil tindakan keras. Namun, adalah tidak wajar untuk menghukum keseluruhan industri yang sah disebabkan perbuatan segelintir pihak,” katanya.
MEVTA turut berpandangan bahawa pengawalseliaan yang jelas dan pelaksanaan undang-undang secara konsisten adalah penting bagi memastikan hanya produk yang mematuhi keperluan perundangan berada di pasaran, di samping memperkukuh pemantauan terhadap rantaian bekalan serta operasi terhadap pengeluar dan pengedar haram.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan dadah dan aktiviti jenayah, bukannya keputusan terburu-buru yang berpotensi membuka ruang lebih besar kepada pasaran bawah tanah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata tindakan menyeluruh terhadap industri sah juga boleh memberi kesan kepada ribuan pengusaha kecil dan sederhana tempatan yang beroperasi secara sah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.


