Jadi sebenarnya Malaysia memang memerlukan seorang Timbalan Perdana Menteri yang sudah sekian lama kosong atau adakah jawatan itu, yang diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri petang semalam, hanyalah berperanan untuk menyelamatkan satu suasana politik yang pelik dan berbelit?
Perlantikan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kenaikkan pangkat Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi Menteri Kanan Luar Negeri semalam dikatakan meredakan ketegangan, menyelamatkan keadaan, membawa kestabilan.
Kenaikan status jawatan mereka berlaku ketika Pakatan Nasional menghadapi ketegangan mungkin tumbang sekiranya Datuk Ser Ahmad Zahid Hamidi berjaya memujuk ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan dan kerjasama.
Namun, samada kestabilan sudah berjaya diwujudkan atau tidak bergantung sejauh mana penerimaan UMNO dan ahli-ahlinya sendiri terhadap perkembangan terbaru ini. Inikah yang dimahukan oleh UMNO selama ini atau cita-cita politik mereka belum tercapai kerana parti itu belum mendapat kuasa mutlak yang hilang dulu?.
Bagaimana pula respon Zahid sendiri terhadap perkembangan terbaru ini?
Keputusan Muhyiddin menamakan Ismail untuk mengisi jawatan yang kosong sejak 1 Mac tahun lalu itu juga membawa kepada persoalan lain. “Adakah Ismail akan naik menggantikan Perdana Menteri satu hari nanti?” soal seorang wartawan veteran dalam chit-chat di satu kumpulan Whatsapp. Sukar hendak menjawab soalan ini kerana hakikatnya, tiada siapapun pernah menjangka Ismail satu hari akan naik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Perlu diingat, pilihanraya umum bakal tiba dan inilah yang akan menentukan kedudukan masa depan semua ahli-ahli politik, termasuk Ismail sendiri. Juga perlu diingat di dalam UMNO, yang masih berkuasa ialah Zahid dan di tangan beliau terletak masa depan mereka. Zahid mungkin sudah memikirkan cara terbaru untuk menangani perkembangan terbaru ini.
